Tuesday, December 7, 2010

Kisah Pemburu dan Serigala Kutub

truenorthsafaris.com
Beberapa minggu yang lalu aku agak terikut dengan Siri Video 'The Arrivals' di YouTube. Paparan mengenai pelbagai konspirasi Illuminati dan juga perselisihan dan perbalahan dalaman diungkai dengan begitu ringkas tetapi berasas. Aku tertarik dengan sebuah kisah mengenai pemburu dan serigala kutub. Ceritanya agak ringkas tetapi maknanya dan perumpamaannya begitu mendalam.


Selain memburu dengan menggunakan senjata api, cara alami dan tradisional juga boleh membuahkan hasil. Satu cara untuk memburu serigala ialah dengan menggunakan tipu helah. Pemburu akan menggunakan pisau dan membasahkannya dengan darah. Pisau yang sudah diselaputi darah itu akan diletakkan di dalam ais dan dibiarkan bilah tajamnya sahaja terkeluar. Kemudian tiba sang serigala yang tertarik dengan bau darah tersebut. Serigala itu akan menjilat-jilat bilah itu hingga lidahnya sendiri terluka. Namun, biarpun lidahnya sudah terluka serigala itu terus menjilat bilah itu dan darahnya sendiri disangka darah mangsanya lalu dihisap semahu-mahunya. Perbuatannya itu diteruskan sehingga akhirnya serigala itu mati memakan darahnya sendiri.


Apa yang boleh digambarkan daripada kisah tersebut ialah; pemburu itu diibaratkan sebagai kerajaan sekarang, dan serigala itu merupakan kita sebagai rakyat. Pemburu akan menggunakan helah dengan memberi sesuatu yang boleh menarik minat serigala, dan membuatkannya leka sehingga tidak sedar yang dirinya sedang diperdaya. Sama seperti apa yang dilakukan oleh kerajaan, cuba menyogok rakyat dengan projek-projek mega, hub hiburan, dan pelbagai lagi dengan memberi alasan untuk kebaikan rakyat. Memang tidak dinafikan semua cadangan itu ada positifnya, tetapi negatifnya lebih banyak. Sebagai contoh cadangan perlaksanaan Hub hiburan. Manusia memang tidak boleh tidak, akan tertarik dengan hiburan walau dalam apa bentuk sekalipun. Tetapi jika diteliti dari segi sosio-kemasyarakatan, dengan lambakan kes pembuangan bayi, kebanjiran pekerja seks dari dalam dan luar negara, pergaulan bebas di kalangan remaja, nahas jalanraya kerana mabuk, kes penyalahgunaan dadah, pusat-pusat judi haram dan 'halal', dimanakah rasionalnya hub hiburan tersebut?


Kisah pemburu dan serigala kutub itu sangat signifikan dengan apa yang sedang terjadi dalam kebanyakan negara di dunia. Darah yang dilumurkan pada mata pisau itu digambarkan sebagai 'gula-gula' kerajaan dalam menawan rakyat, dan dalam tidak kita sedari mata pisau sedang membelah lidah kita sendiri. Sama seperti serigala itu, kita mungkin boleh mengelakkan perkara itu dari terjadi sekiranya kita sedar apa yang sedang berlaku. Namun begitu, masih ramai lagi yang terleka dan menikmati darah sendiri. Masih lagi ada yang terleka dengan helah kerajaan sehinggakan ditipu berkali-kali, dijanjikan jambatan pelbagai rupa, dijanjikan tiada kenaikan namun hampa, diputar belitkan cerita lalu mereka percaya, dan tanpa disedari mereka sebenarnya sedang menikmati darah sendiri, seperti apa yang terjadi kepada serigala. Kenaikan harga gula, gas, petrol dan diesel, sedikit sebanyak membunuh kebanyakan rakyat terutama yang berpendapatan rendah, namun mereka masih lagi melaung-laungkan nama kerajaan, masih lagi menyanjungi kerajaan. Tanpa disedari mereka sebenarnya menuju kehancuran, atau dalam konteks situasi sekarang lebih sesuai dilabel menuju kebankrapan.

..::sedar atau tidak, segalanya sudah bermula ::..

No comments: