Tuesday, October 5, 2010

MAGIKA!!

Telah datang seorang kanak-kanak bernama Ayu (bukan nama sebenar) kepada bapanya.
'Ayah, Ayu rasa bosan hidup di sini. Mahunya Ayu pergi ke sebuah tempat di mana semua impian boleh menjadi kenyataan, dan setiap suatu perkara itu adalah tidak mustahil untuk direalitikan,' ujar kanak-kanak itu.
'Apa Ayu tidak pernah dengar akan Magika?', tanya si bapa.
'Malaygika? Di mana Magika? Apakah disana boleh menghidupkan suatu angan-angan agar menjadi kenyataan?' tanya anak itu dengan penuh harapan.



Magika ialah sebuah kerajaan yang masyhur suatu ketika dahulu. Tatkala kerajaan lain berusaha untuk maju, Magika sudah lama berpasak menjadi sebuah tempat tumpuan pedagang dari seluruh dunia. Hasil buminya tidak terhingga, dari rempah ratus, tanah-tanah, bijih galian, emas dan perak, stable-stable lumba kuda, factory-factory, dan sebagainya. Magika terkenal bukan sekadar di benua sekitarnya, malah dari negara-negara Timur Tengah seperti Pakistan, Afghanistan, Popostan, Titistan, Go-head-gostan (dekat-dekat dengan negeri SETAN), Tanjung Rambutan, dan lain-lain.


Apa yang Magik dalam Magika? Di Magika, tiada suatu pun mustahil. Ada suatu kisah pernah diceritakan, di Magika ini penguasanya pernah membeli suatu kenderaan ajaib yang dipanggil Scorpene. Scorpene ini merupakan sebuah kapal selam, tetapi yang ajaibnya kapal belian Magika ini adalah ia sebenarnya merupakan sebuah kapal selam yang tak boleh menyelam. Mana mungkin kita jumpa di mana-mana kerajaan, sebuah kapal selam yang tidak boleh menyelam. Itulah ajaibnya Magika. Kapal Selam yang tidak boleh menyelam itu dibeli dengan harga mencecah billion Ringgit Magika lantaran kewangan pembesar-pembesar utama di Magika dan cash-flow kerajaan yang sangat baik, terutama dari sumbangan rakyat Magika yang berbudi bahasa dan berbilang kaum. Bukan itu sahaja, pembesar utama di Magika turut mendapat laba besar daripada jualbeli kenderaan ajaib tersebut sehingga besar dan lebar surinya dek menampung wang komisyen itu. Sehingga kini, khabar mengenai kapal selam yang tidak boleh menyelam itu terdiam seketika kerana negara penjual mahu membuat sedikit siasatan lantaran terkejut dengan kelebaran suri perdana tersebut selepas proses jualbeli.


Itu baru satu keajaiban di Magika. Ada lagi diberitakan mengenai satu kemustahilan yang nyata menjadi realiti di bumi Magika. Telah dikhabarkan bahawa seorang pembesar dari negeri pasir, mampu memiliki kediaman seumpama pembesar diraja. Bukan itu sahaja, dengarnya bayaran ansuran bulanan untuk pinjaman membeli tanah dan membina mahligai itu adalah sama dengan pendapatan bulanan minimum 15 orang amah dari seberang. Yang menjadi pokok hairannya ialah pembesar itu pernah melancarkan dan mengilhamkan 'SETINGGAN SIFAR' iaitu suatu kempen untuk menghapuskan kediaman tidak rasmi dan tidak berdaftar. Tapi mungkin juga ada logiknya kerana ada kemungkinan pembesar ini, walaupun asal usulnya dari tanah seberang, mahu membawa semua rakyat yang di kediaman tidak berdaftar itu duduk di rumahnya. Alangkah baiknya hati budi pembesar tersebut, dan ini juga ada kemungkinan kerana beliau telah menunjukkan budi baiknya dengan menyedekahkan tanah kepada pemandu peribadinya. Jadi tidak mustahil beliau boleh membawa semua mereka itu tinggal dengannya di rumah mewah itu.


Ada lagi satu cerita yang diriwayatkan dimana pembesarnya sangatlah berjiwa rakyat. Slogan 'Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan' menjadi kata-kata pujangga sang pembesar perdana. Berdasarkan konsep itu, maka semuanya akan dimulakan dengan rakyat, tidak kira baik atau buruk. Dan pembesar-pembesar utama juga sangat mulia hatinya kerana ada yang sanggup turun ke ladang getah dan menoreh sepertimana rakyatnya. Ada juga suatu ketika dimana sang pembesar perdana memberi bantuan sebanyak 3 juta Ringgit Magika kepada sebuah sekolah biarpun mereka berlainan bangsa. Dan ada juga di sebuah pedalaman dimana pembesar perdana mengatakan, 'I help you, You help me,'. Betapa mulianya hati seorang pemimpin perdana itu. Pemimpin perdana itu juga pernah menjanjikan hiburan buat seluruh negara ketika berlangsungnya pesta bola dunia, tetapi ditarik balik, dan diwar-warkan semula, lalu ditarik balik. Dan sebenarnya cubaan pembesar perdana itu telah berjaya menaikkan saham sebuah syarikat besar yang selalu memberi bantuan kepada kumpulan pembesar itu. Dan pembesar perdana ini sebenarnya turut memiliki sebuah lagi kenderaan ajaib yang jarang-jarang ada di dunia. Kenderaan itu ialah sebuah helang besi yang tidak mempunyai isi perut. Bayangkan betapa ajaibnya semua rakyat termasuk pembesar di Magika.


Itulah kisahnya mengenai sebuah kerajaan bernama Magika. Negaranya indah, pembesarnya kaya, rakyatnya berbilang kaum, cukainya melimpah, rasuahnya bersepah-sepah, kroninya melipat-lipat dan bermacam-macam lagi. Ingatlah, di Magika, tiada yang mustahil dengan kuasa imaginasi.....dan birokrasi.

~sumpah aku tak tengok Magika lagi..

1 comment:

Anonymous said...

diana danielle = HOT!!!

tu je aku nak cakap.

oh, dan aku tensen dgn PR!!